Saturday, 28 July 2012

Bermula Kisah Epik

Seawal jam lapan kami bersiap,
Berjumpa si dia walaupun sekejap,
Masing-masing sama berharap,
Semaian kasih ini mampu digarap

Pertemuan epik sudah berlaku,
Masing-masing senyap diam membatu,
Mungkin tak sangka juga rasa malu,
Untuk sama mulai mukaddimah itu

Bersama emak abah sebagai teman,
Juga mak teh pak teh menjadi saksi,
Kerana si bunga bukan di sebarang laman,
Dia dijaga rapi dikelilingi pendinding besi

Ayu manis sungguh wajahnya,
Buat hati gundah sering bertanya,
Bilakah akan tiba nanti masanya,
Ya Allah aku mahu bersamanya

Nampaknya kita sama-sama mengia,
Dikau sambut cinta ku dengan ria,
Akan ku cuba buat dikau kan bahagia
Moga kan kekal bukan hanya di dunia

Walau tadi hanya seketika cuma,
Tapi kita bersama mampu laksana,
Rancangan yang dah lama direncana,
Menyiap hantaran apa yang ada


EpIk LoG : CoMmAdDiX
Lokasi : Taman Seri Batang Kali
Masa : 2328
Tarikh : 08 Ramadhan
Mood : Blues Kisah Epik

Thursday, 26 July 2012

Keberangkatan

Sudah masuk hari yang baru,
Ramadhan ini perlahan-lahan berlalu,
Beruntunglah mereka yang menyahut seru,
Bila berpisah dengannya pastinya terasa pilu

Tercipta ramadhan ini satu kisah,
Padanya aku sendiri berasa resah,
Mahu ku bangkit dari segala sakit,
Walaupun langkahku berdikit-dikit

Mahu ku gabung semua perca,
Agar nanti menjadi satu lembaran,
Mahu ku tutup mulut yang mencerca,
Biar tertutup semua rasa hairan

Terpatri sudah semua rasa janggal,
Tiada satu pun yang tertinggal,
Jadikan aku pemilik yang tunggal,
Segala penghalang biarlah dipenggal

Tidak ku sabar menanti detik itu,
Saat pertama dikau kan ku temu,
Sabarlah dikau tunggu aku di situ,
Mahu dikau ku tatap tanpa jemu

Tatkala bingkisan ini ku garap,
Hanya padaMu aku mengharap,
Mohon semua padanya mampu ku serap,
Mahu ku kikis segala yang kurap

KeBeRaNgKaTaN lOg : CoMmAdDiX
Lokasi : Taman Klang Utama
Masa : 0714
Tarikh : 6 ramadhan
Mood : Blues Belum Tiba :)

Thursday, 19 July 2012

Harapan Ramadhan

Bertemu ia satu anugerah,
Bulan mulia yang penuh sirah,
Kepada Dia semuanya terarah,
Melipat ganda ibadah tidak menyerah

Tawaran terbuka kepada semua,
Kepada si muda jua si tua,
Ganjaran berganda tak mampu dikira,
Mari rebut semua dengan segera,

Beduk ramadhan kian tiba,
Ku sambut ia penuh rasa hiba,
Kerana seringkali aku tertanya-tanya,
Masihkah diberi ruang untuk bertemu dengannya

Dalamnya Allah memberi jutaan fadhilat,
Diberi pahala pengampunan jua rahmat,
Bukan kepada mereka yang kuat mengelat,
Tapi pada mereka yang mengejar semua nikmat

PadaMu aku panjangkan hajat,
PadaMu niat ini ku panjat,
PadaMu aku mahu bermunajat,
Limpahkan kurnia jangan disejat

Duhai pencipta langit dan bumi,
Sesungguhnya padaMu ku akan kembali,
Bantulah aku dalam perjalanan ramadhan ini,
Agar ku beroleh redhaMu Ya ilahi....

Amin Ya Robbal A'lamin

RaMaDhAn LoG : CoMmAdDiX
Lokasi : Taman Klang Utama
Masa : 0714
Tarikh : 30 Syaban / 200712

Sunday, 15 July 2012

Keramat Cinta

Tidak ku cari suatu yang sempurna,
Kerna ku tahu ia sukar untu dibina,
Tidak ku intai suatu yang cantik,
Kerna ku ku khuatir ianya hanya sedetik

Ku hanya mahu yang sederhana,
Cukup padanya aku diam terpana,
Ku hanya kepingin yang ikhlas,
Cukup pada bahunya kepala ku dialas

Sepanjang hidup ini,
Sepertinya memang ku nanti,
Seumur perjalanan ini,
Di sinilah blues itu akan berhenti

Buat kamu pemilik lesung pipit ku,
Terima kasih kerana lama menunggu,
Akan ku usaha penuhkan ruang saku,
Tak mahu kerananya rencana terganggu

Hentikanlah tangisan sedih itu,
Kerana aku bukannya sebegitu,
Ada moleknya doa kita kan jitu,
Agar disegerakan kita menyatu

Jika dialah jodoh buat diri ku,
Ku mohon sesuatu pada Mu,
Permudahkanlah segala urusan ku,
Juga ku harap rahmat daripada Mu

KeRaMaT cInTa LoG : CoMmAdDiX
Lokasi : Taman Seri Batang Kali
Masa : 1552
Tarikh : 150712
Mood : Blues Keramat Cinta

Wednesday, 11 July 2012

Buat Aku

Tatkala Allah temukan kamu dengan yang salah,
Usah kamu segera mengalah,
Disaat dendam kesumat marak berbalah,
Sedarlah diri segeralah islah

Usah dikenang barang yang silam,
Takut hadirnya menambah si kelam,
Jangan dirobek luka hati yang dalam,
Khuatir lukanya kian dalam menyelam

Dalam asyik kau berkias fansuri,
Usah dikau mudah lupakan diri,
Dalam asyik kau elak bisanya duri,
Jangan pernah kau pentingkan sendiri

Bila mana lobosnya dicarik-carik,
Jangan kau lupa panasnya terik,
Tika lukanya bagai ditarik-tarik,
Cekalkan hati usah kau berasa serik

Patah tumbuh hilang berganti,
Jangan kerananya kau makan hati,
Percayalah akan tiba suatu hari nanti,
Ganjaran Allah menanti mu pasti

Buat peringatan pada empunya diri,
Jangan siakan dia walaupun sekali,
Angkatlah dia menjadi si suri,
Tenangkan jiwa tika bertemu si wali

BuAt AkU lOg : CoMmAdDiX
Lokasi : Taman Klang Utama
Masa : 2158
Tarikh : 110712
Mood : Blues Buat Aku

Saturday, 7 July 2012

Aku Suka Dia

Telah sampai satu pengkhabaran,
Telah sampai suatu pengakhiran,
Telah sampai seperti yang disaran,
Telah sampai rasa ini harus ku migran

Penantian ini sudah sampai penghujung,
InsyaAllah akan ada nanti si sirih junjung,
Dari kami keluarga besar semenanjung,
Buat si idaman hati yang ku sanjung-sanjung

Memang benar dikau yang ku damba,
Pengubat luka dan jua hati yang lara,
Bila agaknya masa itu kan kunjung tiba,
Rindu ku tanggung banyak tidak terkira

Hati ini acapkali rasa terganggu,
Diri ini acapkali duduk termangu,
Sampai bilakah harus ku tunggu,
Resah ini seringkali membelenggu

Bagai telah hadir suatu jasbah,
Buat luka lamaku menjadi kebah,
Buat perit derita lamaku kini rebah,
Buat ganjaran buat hati nan tabah

Telah terbit suatu rasa,
Telah wujud suatu ritma,
Kini ku serahkan pada Yang Kuasa,
Tak sanggup ku tahan rasa ini lama-lama


AkU sUkA dIa LoG : CoMmAdDiX
Lokasi : Taman Seri Batang Kali,
Masa : 1849
Tarikh : 070712
Mood : Blues Aku Suka Dia

Friday, 6 July 2012

Gadis Bunga Kristal

Nukilan ku kini hanya untukmu,
Untuk meluah rasa yang terbuku,
Risau takut gembira semua menyatu,
Fotomu acapkali mengganggu sanubariku

Angan-anganku kini menjadi nyata,
Zulmat yang menebal bagaikan sudah tiada,
Allah telah pun menghantar satu kurnia,
Rasminya kini dikau telah ku jumpa

Inikah mungkin dinamakan cinta,
Aku berasa sungguh bahagia,
Hati bergetar tatkala menatap wajahnya,
Bagai terasa diri hanyut diluar atmosfera

Izinkan aku menangi hati mu,
Nantikan hadirku tanpa jemu,
Terbitkan rasa kasihmu pada ku,
Impikan yang indah hanya denganku

Zon blues ku sudah berubah ritma,
Aku kini makin sudah percaya,
Kasihmu telahpun mengubah segala,
Akan ku kotakan segala yang direncana

Rasa cinta padamu kini kian menebal,
Inikah puncanya roboh sedihku yang kebal,
Aku mohon bersamamu mahu ia kekal,
Terima kasih bawaku pulang ke pangkal

BuNgA kRiStAl LoG : oLdBoY
Lokasi : Taman Seri Batang Kali
Masa : 0719
Tarikh : 070712
Mood : Blues Si Bunga Kristal